Saturday, March 13, 2010

MAJLIS KHATAMAL QURAN PERINGKAT KELAS BINA INSAN DUN N.7 SAMARIANG PARLIMEN P194 PETRA JAYA



(Foto) Peserta Majlis Khatamal Quran yang berlangsung pada 13 Mac 2010 bersamaan 27 Rabiulawal 1431Hijrah telah menyerikan pengisian aktiviti yang julung kalinya dianjurkan oleh Kelas Bina Insan Jabatan kemajuan Masyarakat (KEMAS)diPeringkat P194 Petra Jaya.
SURAU NURUL KHAIR sekali lagi menjadi pilihan KEMAS setelah meneliti kemampuan Jawatankuasa Pentadbir SNK yang sentiasa mengalu-alukan sokongan samada daripada pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan NGO. Apa yang menjadi hasrat En Ismail Bin Suut (Pengerusi SNK) adalah manfaat program tersebut kepada masyarakat.
Empat buah kampung mengambil bahagian. Kampung Semariang Batu, Kampung Semariang Pinggir, Kampung Semariang Wawasan Fasa 3 dan Kampung Surabaya.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pn Hjh Hanifah Bte Saed (Wakil YB Sh Hasidah Syed Aman Ghazali), Ustaz Ismail Maarof ( Wakil Pengarah KEMAS Sarawak),Pn Rapiah Awang (Penyelia Perhubungan KEMAS Kawasan P194 Petra Jaya), KK Tn Hj Mohammed Bin Hassan dan KK Tn Hj Marzuki (KK Kpg Surabaya).
Merasa amat bersyukur, Ustazah Salina yang merupakan guru pendidik yang telah bergiat selama 10 tahun menabur bakti akhirnya dapat menyaksikan anak didiknya khatam secara beramai-ramai.

Tuesday, March 2, 2010

PROGRAM BELAJAR AL-QURAN


Jawatankuasa Pentadbir Surau Nurul Khair telah pun menyiapkan kalendar perancangan 2010. Antara pengisian yang menjadi keutamaan ialah pendidikan Al-Quran.

Kepada mana-mana saudara, saudari, anak-anak yang ingin mengikuti program tersebut boleh berhubung kepada Imam Tn Hj Seruji Bin Serah, Imam En Jaini Bin Hj Tempang, En Speri Bin Mahbu dan En Hajemi Bin Bojeng.

Program pendidikan adalah bersiri dan borang boleh didapati di SURAU NURUL KHAIR. Tarikh tutup adalah pada 25 Mac 2010. Sebarang pertanyaan bolehlah merujuk papan kenyataan surau.

TANGGUNGJAWAB DALAM IBADAH OLEH USTAZ HJ SIRAT BIN IBRAHIM


Selasa 2 Mac 2010 @ 16 Rabiulawal 1431Hijrah. Memanjat rasa syukur kehadrat ALLAH SWT kerana dengan keizinanNya maka kali ini ceramah bertajuk "TANGGUNGJAWAB DALAM IBADAH" telah disampaikan dengan bertenaga oleh Ustaz Hj Sirat Bin Ibrahim.

ALHAMDULILLAH... Mengambil iktibar dari ceramah yang bermula jam 0715pm hingga 0825pm, rasa serba bersalah timbul apabila satu persatu punca masalah perpecahan dikalangan penduduk kampung khususnya, diketengahkan.

Irihati, sentiasa mencari kesalahan orang lain, tidak mahu belajar, takut mengeluarkan harta ke jalan ALLAH SWT, ingin dilihat sebagai seorang yang pandai(riak), menerima jawatan tetapi tidak mahu melaksanakan tanggungjawab dan suka mengkritik usaha orang lain antara persoalan yang menjadi perbincangan.

Dikongsikan juga antara kaedah untuk khusyuk dalam ibadah setelah disoal oleh jemaah yang hadir. Bagi umat biasa seperti kita pastinya tidak dapat melupakan masaalah harian walaupun ketika solat. Walaupun demikian, diterangkan bahawa solat adalah waktu yang afdal untuk kita berdoa dan bermohon kepada ALLAH SWT yang menyediakan rezeki untuk ciptaanNya. Sekiranya kita mengerti maksudnya sudah tentulah kita sentiasa mengingati ALLAH SWT semasa solat.

Dalam usaha untuk melengkapkan barisan pelapis untuk imam dan bilal. Ustaz Hj Sirat Bin Ibrahim mengucapkan tahniah kepada JKP SNK kerana berbuat demikian. Usaha sedemikian sepatutnya menjadi contoh. Pihak Jabatan Agama Islam Sarawak sentiasa membantu kepada mereka yang memerlukan terutama dari sudut pendidikan Islam.

Dalam kehidupan yang serba mencabar ini tidak terkecuali ada dari kalangan umat Islam yang menyatakan belum menerima seruan ALLAH SWT untuk melakukan ibadah terutama ibadah solat. Maha Suci ALLAH SWT yang menjadikan kita kelebihan dari makhluk lain. Kita dikurniakan akal, mata, telinga dan lain-lain lagi. Laungan AZAN lima waktu sehari semalam walau di mana jua. Itulah seruan. Terlintas di hati untuk menunaikan solat, terus kerjakan. Itu ertinya menyahut seruan ALLAH SWT.

Saudara pembaca, INSYAALLAH... kiranya diizinkan, JKP SNK akan mengadakan program khas berkenaan RUKUN IMAN, IMAM dan BELAL. Sebagai manusia biasa pastinya sentiasa berlaku kesilapan. Kiranya pembaca terpandang sesuatu yang salah...saya mohon maaf.

Monday, March 1, 2010

KAMPUNG SEMARIANG BATU (KASBA)


KASBA mula diterokai sekitar tahun 1960 kini benar-benar berubah. Kepadatan penduduk yang majoriti Melayu/Islam hidup dalam harmoni bekerjasama dan bantu membantu. Melihat kepada jumlah rumah lebih kurang 700 buah, pentadbiran telah dibahagikan kepada 8 Zon yang diuruskan oleh ketua zon yang juga Ahli Jawatankuasa Induk JKKK.

Pentadbiran berpusat di Surau Nurul Khair yang terletak di tengah-tengah KASBA. Aktiviti sama ada Perayaan Islam, Program Sosial dan sebagainya sentiasa mendapat sambutan. Selain terdapat pihak-pihak dalam KASBA yang begitu perihatin, tidak kurang juga sokongan masyarakat luar yang tidak putus-putus memberi sokongan dan bantuan. Hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalas jasa mereka.

Di bawah pimpinan KK Tn Hj Mohammed Bin Hassan, KASBA bergerak maju kehadapan. Dalam arus kemajuan yang pesat, pentadbiran pastinya lebih mencabar.

PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI... dalam arus kemajuan, kini barisan anak muda pelapis telah disiapkan terutama dari sudut keagamaan. Kepada mereka yang terpilih sebagai pelapis dalam mentadbir KASBA nanti, TAHNIAH!!!

KEMUDAHAN YANG DISEDIAKAN

1. Bagi mereka yang akan mengadakan kenduri kendara dan yang sama waktu dengannya, Surau Nurul Khair ada menyediakan kelengkapan seperti Kanopi, Meja dan Kerusi, Pinggan Mangkuk, Periuk Belangga dam bermacam-macam lagi.

2. Surau Nurul Khair giat mengadakan aktiviti pendidikan seperti Al-Quran, Marhaban dan Fardu Kifayah. Untuk saudara yang berhajat dan ingin menimba ilmu JKP Surau Nurul Khair mengalu-alukan penyertaan saudara semua. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan.

KURSUS UMRAH SEMPENA CUTI SEKOLAH


25 Febuari 2010 @ 11 Rabiulawal 1431Hijrah, Surau Nurul Khair merasa amat bertuah kerana terpilih sebagai tempat mengadakan kursus Umrah musim cuti sekolah pada Mac 2010 ini.
Kepada Pihak Tabung Haji Travel dan Pihak Babsalam, JKP Surau Nurul Khair amat mengalu-alukan kerjasama pihak tuan dalam meneruskan sunnah Rasulullah SAW.
Seramai 50 peserta hadir pada program tersebut terdiri daripada anak-anak muda, kaum ibu dan kaum bapa. Antara yang hadir pada program tersebut ialah Ketua Kaum Tn Hj Mohammed Bin Hassan dan Imam Tn Hj Seruji Bin Serah.

PROGRAM MAULIDUR RASUL 1431HIJRAH SURAU NURUL KHAIR KAMPUNG SEMARIANG BATU


Sempena sambutan Maulidur Rasul 1431Hijrah, JKP Surau Nurul Khair di bawah kepimpinan En Ismail Bin Suut telah menjalankan aktiviti sambutan berlainan daripada kebiasaan sambutan yang dijalankan dengan mengadakan perarakan mengelilingi kampung. Pada tahun ini, JKP Surau Nurul Khair mengadakan program hanya dikawasan surau sahaja dengan menjemput kumpulan zikir yang terdapat khususnya di Kampung Semariang Batu sendiri.

Terdiri dari pelbagai lapisan usia, terdapat enam kumpulan zikir yang telah membuat persembahan masing-masing. Selain itu, turut menyerikan sambutan pada kali ini ialah persembahan nasyid daripada kanak-kanak istemewa dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Petra Jaya yang terdapat di dalam Kampung Semariang Batu di bawah penyeliaan Pn Kasiah Bte Bujang.

Bacaan Surah Al-Fatihah dari anak istemewa yang baru berusia lima tahun amat memukau jemaah yang hadir. Kemampuan membaca dengan baik walaupun dalam keadaan berbeza dari kanak-kanak lain amat menyentuh perasaan.

Tarikh 14 Rabiulawal 1431Hijrah bersamaan 28 Febuari 2010 menjadi tarikh pilihan pagi program tersebut. Setelah meneliti pengisian bagi sambutan kali ini, JKP SNK percaya kampung Semariang Batu mampu melahirkan kumpulan Zikir yang baik bagi diketengahkan bagi peringkat luar kampung seterusnya keperingkat yang lebih tinggi.

Ucapan setinggi-tinggi terima kasih terutama buat Tn Imam Tn Hj Seruji Bin Serah, Tn Belal Tn Hj Arshad Bin Hj Morshidi dan Pn Hjh Bedah atas tunjuk ajar yang telah diberikan.